CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, January 23, 2009

Menggapai Impian

Sapaan angin yang mengalun lembut menyapa tubuhku. Dingin sungguh aku rasakan pada malam ini sehingga mencengkam ke tulang hitamku. Jeritan cengkerik hutan seakan-akan berpesta menyambut keheningan malam yang kian berlabuh menuju ke dinihari. Namun, mataku ini masih sukar untuk dilelapkan dan di beranda banglo tiga tingkat inilah aku sering mencari ketenangan sambil melihat kerlipan bintang yang bertaburan di langit. Maha suci Allah yang Maha berkuasa menciptakan sesuatu. Indahnya langit dikala malam menjelma. Kerlipan bintang di bawah sinaran cahaya bulan menjadikan malam begitu indah untuk di hayati dan kerana itu banyak bait-bait puisi dan lirik-lirik yang mengisarkan keindahan malam di tulis si pujangga untuk di hadiahkan kepada si dara kekasih hatinya. Sewaktu insan lain lena diulit mimpi indah, malam sentiasa setia menjadi pengganti siang untuk memberikan manusia sedikit ruang dan masa untuk berehat bagi meneruskan perjuangan di muka bumi ini pada keesokkan hari. Kehidupan ini sentiasa berputar meninggalkan setiap detik, waktu dan masa. Kehidupan laksana roda kayu yang berpusing. Hari ini kita berada di bawah dan mungkin esok kita akan berada di atas dan bermula esok, semua yang berlaku semalam hanya tinggal sejarah dan kenangan untuk di lihat dan di renung kerana masa yang berlalu tidak mungkin akan berpatah kembali.

Keheningan pada malam ini, benar-benar meruntun hatiku dan tanpa aku sedari manik-manik jernih mengalir ke pipi. Wajah kedua orang tuaku silih berganti. Kini, sudah hampir tiga tahun pemergian mereka mengadap ilahi dan dikala itu aku merasakan diri ini sangat kesepian, keseorangan dan suatu kehilangan yang tiada pengganti. Terasa rindu ini semakin kuat mencengkam jiwa dan segala memori lama mula bermain di ruang kenanganku. Tanggal 17 Ogos 1986, aku mula dilahirkan ke dunia sebagai salah seorang penyambung warisan keturunanku dan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Kelahiranku ini tidak keseorangan berbanding adik beradikku yang lain kerana aku ditemani saudara kembarku untuk bersama-sama mengharungi pancaroba duniawi ini. Kelahiran kami ini disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan walaupun kami adalah kembar yang berbeza jantina. Aku dilahirkan di perkampungan Felda yang terletak di daerah Jengka salah satu daerah di negeri Pahang. Lambaian daun kelapa sawit dan getah yang menjadi pepohon peneduh itulah merupakan punca pendapatan utama kami warga Felda. Kenangan bersama kembarku sewaktu kami kecil masih segar diruang ingatanku. Sejak dari kecil, kami kurang dibenarkan bermain diluar rumah. Di teratak Felda itulah kami sering menghabiskan masa untuk bermain, bergaduh dan bergurau senda bersama. Ketika usia kami empat tahun, ibu sering membawa kami ke kebun untuk menanam sayur seperti sawi, kobis dan cili api. Sewaktu tiba musim mengutip cili yang sudah masak, ibu akan memberikan kami sebilah gunting kecil untuk memetik cili tersebut supaya pokoknya tidak mudah rosak. Hasil jualan sayur yang tidak seberapa ini dapatlah membantu sedikit perbelanjaan kami sekeluarga. Hal ini kerana, pada ketika itu harga buah kelapa sawit tidaklah terlalu mahal dan masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan persekolahan kesemua kakakku yang berada di sekolah rendah dan menengah dan apa yang pasti setiap kali ibu menjual hasil tanaman, aku dan saudara kembarku pasti akan mendapat upah dengan seorang sebatang ais-krim. Bagi kami, upah sebegini adalah cukup seronok dan lumayan. Aku masih teringat lagi bagaimana seronoknya kami berdua bermain tarik daun upih kelapa memusing keliling rumah dan lesung pelepah daun kelapa. Ketika itu ayah tidak mampu membelikan kami mainan yang mahal dan hanya permainan seperti itu ayah buatkan untuk kami. Walaupun hanya permainan kampung, tetapi aku berasa sangat seronok dan gembira. Masih segar di ruang fikiran melihat kembarku menarik upih tersebut dengan sekuat hati kerana berat badanku semasa kecil lebih berat daripadanya dan kini apabila aku mengimbau kenangan sewaktu kecil ini membuatkan aku kadangkala tersenyum sendirian.

Tahun 1991 merupakan tahun yang paling bermakna buat diriku apabila aku mula menjejakkan kaki ke sekolah. Sekolah Kebangsaan (LKTP) Jengka 15, itulah tulisan yang tertera di pintu pagar utama sekolah. Di situ tempat aku mula mengenali huruf, seterusnya membaca, menulis dan mengira. Prestasi akademik bersama kembarku tidaklah jauh berbeza, tetapi selalunya keputusan peperiksaanku pasti lebih baik daripada dirinya. Aku masih teringat lagi permainanku di waktu lapang bersama-sama anak jiranku semasa kecil. Selepas pulang daripada kelas fardhu Ain, kami suka bermain ‘cikgu-cikgu’. Kadangkala aku menjadi cikgu dan kadangkala aku menjadi pelajar sekolah dan apa yang pasti apabila menjadi ‘cikgu’ aku akan membawa rotan supaya ‘anak muridku’ takut kepadaku. Aku akan berlakon seolah-olah menjadi seperti cikgu yang sebenar dan merotan mereka yang tidak mendengar kataku. Cita-citaku untuk menjadi seorang cikgu memang wujud sejak kecil lagi dan aku sering menjadikan pengalaman aku di sekolah diaplikasikan semasa kami bermain seperti membawa rotan dan membawa buku yang banyak ke sekolah. Sikap dan minatku ini adalah seperti yang diutarakan oleh Teori Ginzberg, Ginsburg, Axelrad dan Herma (1951 ) menyatakan bahawa peringkat perkembangan kerjaya seseorang itu turut dipengaruhi oleh tiga jangka waktu iaitu fantasi, percubaan dan realistik. Pada peringkat fantasi iaitu antara lingkungan umur enam hingga sebelas tahun, kanak-kanak lebih berorientasikan permainan dan dipengaruhi oleh orang dewasa. Aku menjadikan permainan ini sebagai salah satu cara untuk menggambarkan minatku yang begitu mendalam dalam bidang pendidikan dan aku juga sangat berharap supaya suatu hari nanti impianku untuk menjadi cikgu akan tercapai.

Aku masih teringat lagi ketika aku dalam darjah dua, sekolahku telah mengadakan pertandingan bercerita kanak-kanak dan ketika itu aku berasa teringin sangat untuk mencuba nasib. Walaupun ketika itu aku agak pendiam di sekolah tetap bagiku apa salahnya jika aku mencuba, manalah tau kalau nasib menyebelahi diriku dan mungkin aku mempunyai bakat yang terpendam selama ini dan bakat ini mungkin boleh membezakan aku dengan yang lain. Hal ini kerana, menurut Henson dan Eller (1999), dalam bukunya Educational Psychology for Effective Teaching menyatakan bahawa kepelbagaian individu itu merujuk kepada ciri-ciri atau sifat-sifat manusia yang mempunyai potensi samada memajukan keupayaan seseorang ( contohnya seperti optimistik dan sentiasa berani mencuba ) atau membataskan keupayaan seseorang untuk belajar dalam persekitaran sekolah contohnya seperti takut melakukan kesilapan dan takut bertanya. Oleh itu, untuk memastikan diri kita berbeza dengan individu yang lain kita seharusnya mempunyai sikap berani mencuba dan jangan cepat berputus asa di dalam diri dan perkara utama yang harus ada dalam kendiri manusia ialah sikap yakin kepada kebolehan diri sendiri.

Apakah yang berlaku kepada saya ketika itu???tungggu sambungan kisah ini ye...


Usik-usik

Thursday, January 22, 2009

Kartun Motivasi Untuk Semua.....

Puisi untuk Sahabat.....

Aku cuma penulis kerdil
menulis hanya untuk diri sendiri
sedikit sebanyak untuk insan lain
melalui pandangan hati dan peribadi
lantas ada masalah kah dengan itu?
lantas ada kesalahan kah dengan itu?

Kenapa mesti menulis ?
Mereka menulis dan menukilkan
dan kamu pun menulis ?
Selama ini tidak pernah
memegang hatta sebilah pena pedang !!!

Ajaib sungguh keputusan mu
tapi mahu tulis apa
mahu tulis kebenaran atau kepalsuan
atau sekadar menulis tapi tiada isi?

Ah kenapa mesti sibuk
aku penulis jurnal bebas
meluahkan buku fikiran
ini dunia aku sendiri
mereka yang lain pun begitu jua
aku dan mereka sama
lantaklah apa orang peduli

Tuan puan yang arif
rakyat jelata semua
kami bukan tong kosong
kami ada perasaan bukan perasan
kami ada isi dan bicara
kami ada identiti dan realiti
kami ada kemahuan tegar
kami ada kesungguhan selamanya

Bukan mengejar nama
jauh sekali ingin dihargai
sekadar berkongsi nukilan hati
minda memberontak jadi jinak
diri yang mati hidup semula
laksana sungai tua kontang
penuh air selepas kemarau berkurun

Oh ya.. itu adalah keinginan
yang lahir dari minda dan jiwa
ingin bebas dalam meluahkan kata
mencoretkan visi pandangan
pencetus minda gerakan wawasan

Rakan taulan seperjuangan...
kita harus berkayuh ke jeti impian
kayuh dengan dayung sendiri
perlu naik sampan sendiri
usah bersempadan dengan halangan
biarkan ia bersama labu dan sampan lain
hanyut di muara sana...

Saturday, January 17, 2009

Isu-Isu Kerjaya

Pekerjaan adalah salah satu bidang yang penting dan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia terutamanya dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu kini. Kita banyak terbaca di dada-dada akhbar berkaitan isu pembuangan pekerja terutama dalam sektor swasta apabila pihak majikan sudah tidak mampu lagi menanggung kredit yang banyak dalam syarikat mereka. Bagi warga asing yang datang ke bumi Malaysia yang dianggap ’telaga emas’ ini pula sanggup melabur dan menjual tanah di negara mereka semata-mata ingin membaiki taraf kehidupan mereka di sana. Maka kita dapat melihat berlakunya persaingan dalam mencari pekerjaan antara anak tempatan dengan warga asing di negara sendiri. Jawapan kepada situasi ini ialah kita dapat melihat kebanyakan daripada sektor ekonomi negara kita dikuasai oleh warga asing yang rata-ratanya tidak boleh berkomunikasi dengan baik dan mempunyai latar belakang pendidikan yang rendah. Justeru, perkara yang sering menjadi persoalan dan tanda tanya ialah mengapa pihak majikan lebih suka mengambil pekerja asing ini bekerja dan menganaktirikan anak tempatan sendiri?

Dalam membicarakan persoalan ini, ada sesetengah pihak berpendapat bahawa pengambilan pekerja asing di negara kita ini adalah sebagai salah satu altenatif pihak syarikat bagi mengurangkan perbelanjaan membayar gaji mereka yang jauh lebih murah berbanding semasa mereka menggaji pekerja tempatan. Selain itu, mereka juga berpendapat pekerja asing ini juga mempunyai komitmen yang tinggi terhadap pekerjaan yang dilakukan sehingga ada sesetengah pihak sanggup membiarkan pekerja asing ini bekerja di bahagian kewangan dan menguruskan kewangan syarikat milik negara kita sendiri. Jika kita mengkaji situasi ini, maka akan timbul persoalan di fikiran kita iaitu adakah rakyat tempatan kita ini terlalu memilih pekerjaan ataupun mereka berasa tidak gembira terhadap pekerjaan yang mereka lakukan. Terdapat perkaitan yang cukup kuat antara minat, sikap dan komitmen dengan sesuatu pekerjaan yang dilakukan. Sekiranya seseorang individu itu tidak menggemari pekerjaan yang dia lakukan maka tidak mustahil dia akan bersikap acuh tidak acuh kepada kerjayanya.

Terdapat pelbagai jenis faktor yang mendorong kepada situasi ini berlaku. Antaranya ialah dalam meniti arus kemajuan negara yang semakin pesat, kuasa beli pengguna semakin tinggi walaupun dalam keadaan ekonomi negara yang agak goyah lalu menyebabkan persaingan terhadap bidang pekerjaan semakin kuat terutama dalam kalangan para siswazah di negara kita. Walaupun mereka ini terdiri daripada golongan yang cerdik pandai namun mereka terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang yang mereka ambil semasa di universiti. Apabila perkara ini berterusan berlaku maka mereka tiada pilihan lain kecuali menerima sahaja pekerjaan yang ditawarkan kepada mereka walaupun bidang pekerjaan itu tidak mempunyai kaitan dengan bidang mereka. Mereka mula bekerja dalam keadaan yang tertekan di tambah pula dengan persekitaran kerja yang kurang memuaskan menyebabkan komitmen mereka kurang terhadap kerjaya yang dilakukan itu.

Selain itu, jika kita melihat dari sudut sekolah menengah pula para pelajar sebenarnya masih kurang mendapat pendedahan dari segi jurusan yang ditawarkan di universiti pilihan mereka menyebabkan ada segelintir dalam kalangan mereka yang tersalah mengambil jurusan ketika ingin memohon memasuki universiti. Terdapat pelbagai punca kepada timbulnya masalah ini. Antaranya ialah kurangnya inisiatif daripada para guru untuk membuat pendedahan dengan lebih awal berkaitan perkara ini terhadap pelajar mereka terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman yang agak ketinggalan dari segi penggunaan komputer dan teknologi. Bagi situasi ini adalah perlu satu pendekatan baru dilaksanakan bagi membantu golongan pelajar sekolah ini. Antaranya ialah para siswazah yang masih menuntut di universiti mereka juga boleh mengadakan program pendedahan kursus kepada para pelajar sekolah sebagai salah satu sumbangan bakti mereka terhadap masyarakat walaupun mereka telah berjaya ke menara gading. Ini jelas terbukti apabila program ini telah mula dijalankan oleh mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaya (UM) dan program murni seperti ini seharusnya menjadi ikutan oleh para mahasiwa dan mahasiswi di universiti lain.

Bagi pihak pentadbiran sekolah pula terutamanya kaunselor, pendedahan terhadap pelbagai jenis maklumat terkini berkaitan isu pendidikan dan hala tuju kemajuan negara pada masa akan datang adalah sangat penting supaya para pelajar ini akan dapat membuat perancangan dan hala tuju hidup mereka dengan sempurna disamping mereka akan lebih jelas berkaitan sesuatu bidang yang mereka minati dan cita-citakan. Pelbagai bentuk pendekatan boleh digunakan oleh pihak kaunselor sekolah untuk membantu para pelajar bagi mengenalpasti potensi dan bakat yang mereka miliki sesuai dengan bidang yang mereka minati. Antaranya seperti penggunaan alat ujian psikologi untuk melihat minat, nilai dan personaliti diri pelajar. Contoh Ujian Personaliti Sidek (IPS), Seach Directed Self (SDS) dan Ujian Minat Kerjaya. Melalui penggunaan alat ujian psikologi ini para pelajar akan lebih memahami diri mereka dan bermotivasi dalam menentukan cita-cita mereka. Secara tidak langsung peningkatan akedemik para pelajar juga akan meningkat.

Kesimpulan yang dapat kita buat di sini ialah walaupun setiap orang mempunyai cita-cita dan impian yang tinggi terhadap sesuatu kerjaya tetapi sekiranya maklumat atau pengetahuan mereka terhadap bidang kerjaya tersebut kurang dan mereka juga tidak mengenal potensi diri mereka yang sebenar, maka hala tuju hidup yang di bentuk itu agak sukar. Justeru, bagi memastikan berkurangnya bilangan penggangguran dalam kalangan para siswazah di negara kita ini maka langkah altenatif yang paling awal dan mudah diambil ialah dengan mendedahkan kepada para pelajar sekolah samada sekolah rendah atau sekolah menengah berkaitan bidang-bidang pekerjaan dan peluang-peluang pengajian yang ditawarkan di universiti tempatan atau luar negara supaya negara kita mampu melahirkan bakal-bakal tenaga pekerja yang berkualiti dan bersahsiah tinggi demi masa depan negara.

Diri ini...
















Best je rasa hari ni….entahla…mungkin baru balik bercuti kot….lapang hati dan fikiran dapat tengok angin ombak menderu dengan kencang…burung-burung pun macam tahu pulak saya rindukan siulan mereka…hehehehe….so di awal pertemuan kita ni saya nak perkenalkan la diri saya sket…mana la tau melalui perkenalan yang pertama ini saya boleh mengenali lebih ramai kawan baru di luar sana…InsyaAllah…Orang pernah berkata nama kadangkala menggambarkan peribadi seorang insan, bagi saya ia ada juga kebenarannya kerana nama saya Noor Azlina binti Hassan dan saya lebih selesa jika orang memanggil saya Lina…Mak saya yang bagi nama tu tau….sayang kat mak…rindu la pulak nak balik kampung…huhuhuhu…Maksud nama saya tu ialah “cahaya kelembutan kami”. Mendalam maksud tu tau…

Saya mula mendapat didikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Jengka 15, anak felda la saya ni….”kampung koi yang tercinta “ ikut loghat orang Pahang. Sekolah menengah saya pun tak la jauh sangat cuma 9 km je dari rumah, tapi result best sket masa UPSR, so kena duduk asrama la jugak…masuk aliran agama masa tu atau sekarang ni dikenali sebagai KRK. Lama jugak sekolah kat situ sampai tingkatan lima. Tapi kantoi pulak time SPM…result lingkup la plak...nak pergi matrikulasi macam tak layak pulak dan secara automatiknya saya kena la ambik tingkatan 6. Masa tu sedih sangat-sangat tau tengok kawan-kawan semua dapat masuk universiti ngan matrikulasi….uhuk..dah nasib nak kena pakai uniform lagi kan

Masuk tingkatan 6 saya telah rancang strategi baru...dalam hati selalu ingat ini je peluang saya nak masuk universiti, so kenapa saya tak boleh nak guna segala potensi yang ada untuk cemerlang kan...masa form 5 dulu dah banyak buat silap dan saya tak boleh la ulangi kesilapan yang sama... Kesilapan yang saya lakukan tu tak payah la nak diceritakan di sini….ia suatu yang menyakitkan untuk di kenang…Ape yang penting saya kena rajin berusaha dan jadikan pengalaman lalu itu sebagai sifu untuk meneruskan perjalanan yang mendatang. Alhamdulillah berkat usaha dan doa saya setiap hari sepanjang tempoh dua tahun akhirnya dapat juga saya melangkah masuk ke universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).Bangga rasa dapat masuk universiti yang jadi idaman ramai pelajar tingkatan enam ketika itu hehehehe. Tapi hal yang lain pulak timbul kerana jurusan yang saya dapat masa tu macam tak berapa best…Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling. Apa tu??? Bilik kaunseling kat sekolah pun tak pernah jejak tiba-tiba kena belajar berkaitan bidang ini. Nasib badan nak buat macammana, kalau tolak nanti lagi rugi so saya teruskan jela, mana la tahu kalau ia memang best. Agak lama jugak saya nak sesuaikan diri dengan jurusan yang agak asing bagi diri saya. Hampir dekat tiga semester belajar barula saya mula meminati bidang ini, menarik juga rupanya...boleh belajar macam-macam jenis ragam manusia dan dapat membentuk personaliti diri supaya dapat berkomunikasi dengan lebih baik melalui banyak pendekatan yang bersifat kemanusiaan (humanistik). Dulu saya suka guna pendekatan marah dan menengking orang lain kalau saya tidak berpuas hati dengan mereka tetapi setelah saya belajar bidang ni kenapa saya nak menggunakan lagi pendekatan itu yang saya sendiri dapat rasakan boleh menjauhkan jurang antara saya bersama teman-teman dan ahli keluarga. Saya kena menerima hakikat bahawa setiap manusia itu unik dan mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Justeru, saya fikir tidak salah malahan lebih baik sekiranya saya banyak menggunakan pendekatan kemanusiaan ini dalam menjalani kehidupan seharian. Disamping dapat mengelakkan konflik saya juga dapat memahami hati dan perasaan orang lain....InsyaAllah.