CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, March 1, 2009

Sambungan Menggapai Impian....

maaf dah lama tak menulis, semoga anda mendapat sesuatu daripada kisah hidup saya ini..


Ketika menunggu giliran, perasaan takut, gugup dan keringat sejuk deras mengalir diseluruh tubuhku kerana inilah kali pertama aku berucap dihadapan orang ramai dan aku juga merupakan peserta yang paling muda dalam pertandingan itu. Ketika tiba giliranku, aku cuba menepis perasaan takut dan gementar dalam diri dan aku cuba melakukan persembahan yang terbaik. Aku juga menggunakan segala kebolehanku dengan menyanyi dan bersajak supaya persembahan aku menjadi lebih menarik dan menghiburkan serta menjadi tumpuan juri untuk memberikan aku markah yang lebih banyak. Namun, ketika keputusan diumumkan aku hanya mendapat tempat ketiga dan mendapat hadiah berupa sebuah piala dan sijil penyertaan. Walaupun aku hanya mendapat tempat ketiga, namun dengan hadiah inilah aku mula punya keyakinan diri yang lebih baik untuk berhadapan dengan orang ramai. Pelbagai bentuk pertandingan deklamasi sajak dan syarahan aku sertai dan aku semakin yakin dengan kemampuan diri. Kini diriku semakin dikenali oleh setiap guru dan rakan pelajar yang lain.

Tahun 1998, bermulalah detik baru dalam sejarah hidupku kerana aku akan menghadapi peperikasaan besar yang pertama dalam kamus hidupku iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Penglibatanku dalam bidang kokurikulum mula dikurangkan dan aku lebih banyak memberi tumpuan dalam bidang akademik. Ibu dan ayah tidak pernah putus asa mendoakan kejayaan kami berdua. Jadual harian aku semakin padat. Setelah pulang dari sekolah kebangsaan pada jam 1.30 tengahari aku bersiap-siap pula untuk ke kelas fardhu Ain pada jam 2.30 petang dan tepat jam 5.00 petang aku akan ke kelas tambahan yang diadakan di sekolah kebangsaan. Kadangkala sebelah malam pula kelas tambahan tetap diadakan sehingga jam 10 malam. Penat sungguh ku rasakan ketika itu. Harapan ibu ayah dan pihak sekolah sudah tergalas di bahu. Aku tidak mahu menghampakan harapan mereka dengan gagal dalam peperiksaan UPSR itu nanti. Ayah juga turut menghantar kami ke program motivasi pelajar supaya tahap motivasi kami sentiasa tinggi dan berusaha bersungguh-sungguh di dalam pelajaran.

Mengikut teori Perkembangan Psikososial oleh Erikson menyatakan bahawa kanak-kanak pada usia 6 hingga 12 tahun, mereka sudah mula memasuki alam persekolahan iaitu berada di sekolah rendah. Pada tahap ini, guru dan rakan sebaya mempunyai pengaruh yang besar ke arah perkembangan kanak-kanak tersebut kerana sebahagian besar masa kanak-kanak ini dihabiskan di sekolah dan bermain. Pemikiran mereka mulai mencapai tahap operasi konkrit iaitu sekiranya kanak-kanak pada tahap ini diberi sesuatu tugasan atau aktiviti, mereka akan melakukannya dengan penuh minat dan ketekunan. Begitulah yang aku rasakan ketika itu. Pengalaman di sekolah rendah sangat menyeronokkan. Setiap tugasan yang diberikan oleh guru, aku akan bersaing dengan rakanku untuk menyiapkan dengan seberapa cepat yang boleh kerana guru akan terus menanda buku kami di dalam kelas dan sekiranya tugasan tersebut dapat dilakukan dengan baik dan kemas, guru akan memberikan tanda huruf A yang besar di dalam buku tersebut. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa bangganya aku mendapat huruf A besar tersebut.

Setiap detik yang berlalu itu kurasakan semakin cepat dan tanpa aku sedari bulan September sudah kunjung tiba. Kini, aku akan menduduki peperiksaan (UPSR) ini dengan tenang hati dan aku mengharapkan usahaku selama ini akan membuahkan hasil yang lumayan. Ternyata usahaku tidak sia-sia apabila aku berjaya memperoleh keputusan yang agak cemerlang bersama kembarku iaitu 4A 1B dan seterusnya ditawarkan ke sekolah menengah Aliran Agama ( Kelas Rancangan Khas ) di Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat. Aku mula melangkah ke alam persekolahan sekolah menengah. Segala-galanya begitu asing bagiku. Aku takut melihat abang dan kakak senior yang jauh lebih tinggi dan besar saiz mereka daripada aku sehingga kadangkala menimbulkan keadaan takut kepada diriku. Maklumlah ini adalah kali pertama aku tinggal berjauhan dengan keluarga kerana kami wajib tinggal di asrama. Pada awalnya, aku rasakan kehidupan di asrama sangat sukar dan memenatkan. Hal ini mungkin kerana aku terpaksa patuh pada jadual harian asrama dan segala-galanya terpaksa dilakukan sendiri. Mujurlah ada kembarku yang turut sama-sama tinggal di asrama sekolah yang sama. Kadangkala aku menangis juga terkenangkan ibu dan ayah di kampung dan aku sangat bersyukur kerana setiap bulan pasti ibu dan ayahku datang menjenguk aku dan kembarku di asrama, jadi terubatlah sedikit rasa kerinduan di dalam hati.

Sepanjang aku berada di sekolah tersebut, aku merupakan salah seorang pelajar yang aktif di sekolah. Di sekolah menengah ini, aku banyak menumpukan perhatian di dalam bidang nasyid dan pantun di peringkat sekolah. Walaupun aku banyak terlibat dalam aktiviti kokurikulum, namun bidang akademik tidak aku lupakan. Aku cuba mendapatkan keputusan yang cemerlang di dalam setiap peperikasaan kerana bagi aku bidang akademik dan bidang kokurikulum adalah dua bidang yang sama penting dalam hidupku. Apabila aku mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan, aku selalunya mendapat hadiah daripada ibu dan ayah. Kadangkala aku mendapat jam tangan dan aku masih teringat lagi ketika itu aku berada dalam darjah dua, ayahku telah menghadiahkan aku sebuah basikal Ralley berwarna merah kerana aku telah mendapat tempat pertama di dalam peperiksaan semasa di sekolah kebangsaan dan kelas fardhu ain. Ayah dan ibu sering memberikan hadiah kepada aku dan adik beradik yang lain sebagai salah satu penghargaan, dorongan atau pun peneguhan positif supaya kami rajin belajar. Tetapi, selalunya aku akan mendapat

hadiah yang lebih mahal berbanding adik-beradikku yang lain. Hal ini mungkin disebabkab aku dilahirkan sebagai anak bongsu di dalam keluarga. Layanan terhadapku dan sikapku sendiri di dalam hubungan keluarga dan adik beradik yang lain agak manja dan kebanyakan perkara yang aku hajati pasti akan kuperolehi. Benarlah seperti yang diutarakan oleh salah seorang penteori terkenal di dunia iaitu Afred Adler yang turut membincangkan perkaitan tingkahlaku dengan urutan kelahiran adik beradik. Bagi anak yang bongsu, perwatakannya lebih bersifat kemanjaan, sering mendapat perhatian yang lebih daripada ibu bapa dan adik beradik serta kebanyakan permintaannya sering akan dipenuhi. Walaupun aku sering dimanjakan oleh keluarga, tetapi ini tidak bermakna aku bebas melakukan apa sahaja sesuka hati aku. Sikap untuk terus menghormati kedua ibu bapaku tetap utuh dan kuat di dalam diriku ini.

Tahun 2003, aku rasakan ia adalah tahun penentuan ke arah bidang kerjaya yang bakal aku hadapi suatu hari nanti. Pada tahun itu, aku akan mengambil peperiksaan penting iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Berbekalkan keputusan PMR aku yang agak cemerlang, aku ditawarkan ke kelas aliran sains tulen di sekolah yang sama. Apabila ibu mengetahui aku telah diterima untuk mengikuti pengajian di aliran sains tulen di sekolah, ibu memasang niat ingin melihat anaknya ini menjadi seorang doktor. Hasrat ibu itu diluahkan kepadaku. Tetapi, hati dan jiwaku bukan di dalam bidang sains sebaliknya lebih kepada bidang sastera. Hal ini kerana ketika subjek elektif ini diajar, aku hanya berminat dan faham apa yang diajar di awal bab sahaja dan apabila masuk sehingga bab yang lain pula, minda, minat dan perhatianku mulai berkurangan. Aku tidak dapat memahami perkara yang diajar oleh guru dan aku mulai berasa bosan sewaktu berada di dalam kelas. Setiap ujian diadakan, pasti ada sahaja subjek elektif ini yang akan gagal. Pernah juga terlintas dihatiku untuk menukar ke aliran sastera tetapi aku rasakan ketika itu, aku tidak berani untuk menghampakan harapan ibuku untuk melihat aku meneruskan pelajaran di dalam aliran ini.

Peperiksaan SPM semakin hampir…..arrghh!!!. Semakin bingung aku dibuatnya. Sudah banyak mata pelajaranku yang tercicir. Walaupun aku idak pernah memonteng sekolah tetapi kewujudan aku di dalam kelas tersebut seolah-olah tidak memberikan apa-apa makna kerana aku sukar untuk ‘menangkap’ apa yang cuba disampaikan oleh guru. Bagi mata pelajaran teras seperti Sejarah pula, aku begitu bersemangat untuk belajar dan aku sering mendapat markah yang paling tinggi di dalam tingkatan setiap kali cikgu mengadakan ujian. Aku juga berminat untuk menulis bait-bait puisi dan mencipta lirik lagu jika aku punya kelapangan. Masa yang berputar kian pantas, aku tidak boleh berterusan begini, aku mesti melakukan sesuatu. Memang aku yang bersalah membukukan segala masalah yang boleh merugikan diri sendiri. Tetapi apakan dayaku, ketika berada di dalam kelas, tumpuan guru hanya kepada pelajar yang bijak di dalam kelas. Setiap soalan yang diajukan di dalam kelas pasti mereka dapat menyelesaikannya dalam tempoh masa yang singkat berbanding pula dengan aku yang terpaksa mengambil masa yang lama untuk menyelesaikannya.

Bosan dan tertekan aku rasakan ketika berada di sekolah. Personaliti diriku juga sedikit sebanyak sudah berubah. Aku menjadi seorang yang cepat putus asa, murung dan rasa malas untuk belajar. Sewaktu cikgu mengajar dihadapan, aku melukis di belakang, aku membaca majalah kartun dan tidur. Tahap motivasiku ketika itu sangat rendah. Menurut Eysensock dalam bukunya Psychology Development, pengaruh sekolah juga boleh mempengaruhi perkembangan personaliti seseorang pelajar. Hal ini kerana gred atau markah yang diberi oleh guru boleh membantu atau membantutkan perkembangan personaliti pelajar. Aku malu apabila mendapat markah yang rendah dan untuk menutup malu tersebut aku sering mengoyak kertas ujianku itu dan menangis seorang diri. Aku juga sering merasakan hidupku seperti tidak berguna lagi.

0 comments: