CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, January 17, 2009

Isu-Isu Kerjaya

Pekerjaan adalah salah satu bidang yang penting dan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia terutamanya dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu kini. Kita banyak terbaca di dada-dada akhbar berkaitan isu pembuangan pekerja terutama dalam sektor swasta apabila pihak majikan sudah tidak mampu lagi menanggung kredit yang banyak dalam syarikat mereka. Bagi warga asing yang datang ke bumi Malaysia yang dianggap ’telaga emas’ ini pula sanggup melabur dan menjual tanah di negara mereka semata-mata ingin membaiki taraf kehidupan mereka di sana. Maka kita dapat melihat berlakunya persaingan dalam mencari pekerjaan antara anak tempatan dengan warga asing di negara sendiri. Jawapan kepada situasi ini ialah kita dapat melihat kebanyakan daripada sektor ekonomi negara kita dikuasai oleh warga asing yang rata-ratanya tidak boleh berkomunikasi dengan baik dan mempunyai latar belakang pendidikan yang rendah. Justeru, perkara yang sering menjadi persoalan dan tanda tanya ialah mengapa pihak majikan lebih suka mengambil pekerja asing ini bekerja dan menganaktirikan anak tempatan sendiri?

Dalam membicarakan persoalan ini, ada sesetengah pihak berpendapat bahawa pengambilan pekerja asing di negara kita ini adalah sebagai salah satu altenatif pihak syarikat bagi mengurangkan perbelanjaan membayar gaji mereka yang jauh lebih murah berbanding semasa mereka menggaji pekerja tempatan. Selain itu, mereka juga berpendapat pekerja asing ini juga mempunyai komitmen yang tinggi terhadap pekerjaan yang dilakukan sehingga ada sesetengah pihak sanggup membiarkan pekerja asing ini bekerja di bahagian kewangan dan menguruskan kewangan syarikat milik negara kita sendiri. Jika kita mengkaji situasi ini, maka akan timbul persoalan di fikiran kita iaitu adakah rakyat tempatan kita ini terlalu memilih pekerjaan ataupun mereka berasa tidak gembira terhadap pekerjaan yang mereka lakukan. Terdapat perkaitan yang cukup kuat antara minat, sikap dan komitmen dengan sesuatu pekerjaan yang dilakukan. Sekiranya seseorang individu itu tidak menggemari pekerjaan yang dia lakukan maka tidak mustahil dia akan bersikap acuh tidak acuh kepada kerjayanya.

Terdapat pelbagai jenis faktor yang mendorong kepada situasi ini berlaku. Antaranya ialah dalam meniti arus kemajuan negara yang semakin pesat, kuasa beli pengguna semakin tinggi walaupun dalam keadaan ekonomi negara yang agak goyah lalu menyebabkan persaingan terhadap bidang pekerjaan semakin kuat terutama dalam kalangan para siswazah di negara kita. Walaupun mereka ini terdiri daripada golongan yang cerdik pandai namun mereka terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang yang mereka ambil semasa di universiti. Apabila perkara ini berterusan berlaku maka mereka tiada pilihan lain kecuali menerima sahaja pekerjaan yang ditawarkan kepada mereka walaupun bidang pekerjaan itu tidak mempunyai kaitan dengan bidang mereka. Mereka mula bekerja dalam keadaan yang tertekan di tambah pula dengan persekitaran kerja yang kurang memuaskan menyebabkan komitmen mereka kurang terhadap kerjaya yang dilakukan itu.

Selain itu, jika kita melihat dari sudut sekolah menengah pula para pelajar sebenarnya masih kurang mendapat pendedahan dari segi jurusan yang ditawarkan di universiti pilihan mereka menyebabkan ada segelintir dalam kalangan mereka yang tersalah mengambil jurusan ketika ingin memohon memasuki universiti. Terdapat pelbagai punca kepada timbulnya masalah ini. Antaranya ialah kurangnya inisiatif daripada para guru untuk membuat pendedahan dengan lebih awal berkaitan perkara ini terhadap pelajar mereka terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman yang agak ketinggalan dari segi penggunaan komputer dan teknologi. Bagi situasi ini adalah perlu satu pendekatan baru dilaksanakan bagi membantu golongan pelajar sekolah ini. Antaranya ialah para siswazah yang masih menuntut di universiti mereka juga boleh mengadakan program pendedahan kursus kepada para pelajar sekolah sebagai salah satu sumbangan bakti mereka terhadap masyarakat walaupun mereka telah berjaya ke menara gading. Ini jelas terbukti apabila program ini telah mula dijalankan oleh mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaya (UM) dan program murni seperti ini seharusnya menjadi ikutan oleh para mahasiwa dan mahasiswi di universiti lain.

Bagi pihak pentadbiran sekolah pula terutamanya kaunselor, pendedahan terhadap pelbagai jenis maklumat terkini berkaitan isu pendidikan dan hala tuju kemajuan negara pada masa akan datang adalah sangat penting supaya para pelajar ini akan dapat membuat perancangan dan hala tuju hidup mereka dengan sempurna disamping mereka akan lebih jelas berkaitan sesuatu bidang yang mereka minati dan cita-citakan. Pelbagai bentuk pendekatan boleh digunakan oleh pihak kaunselor sekolah untuk membantu para pelajar bagi mengenalpasti potensi dan bakat yang mereka miliki sesuai dengan bidang yang mereka minati. Antaranya seperti penggunaan alat ujian psikologi untuk melihat minat, nilai dan personaliti diri pelajar. Contoh Ujian Personaliti Sidek (IPS), Seach Directed Self (SDS) dan Ujian Minat Kerjaya. Melalui penggunaan alat ujian psikologi ini para pelajar akan lebih memahami diri mereka dan bermotivasi dalam menentukan cita-cita mereka. Secara tidak langsung peningkatan akedemik para pelajar juga akan meningkat.

Kesimpulan yang dapat kita buat di sini ialah walaupun setiap orang mempunyai cita-cita dan impian yang tinggi terhadap sesuatu kerjaya tetapi sekiranya maklumat atau pengetahuan mereka terhadap bidang kerjaya tersebut kurang dan mereka juga tidak mengenal potensi diri mereka yang sebenar, maka hala tuju hidup yang di bentuk itu agak sukar. Justeru, bagi memastikan berkurangnya bilangan penggangguran dalam kalangan para siswazah di negara kita ini maka langkah altenatif yang paling awal dan mudah diambil ialah dengan mendedahkan kepada para pelajar sekolah samada sekolah rendah atau sekolah menengah berkaitan bidang-bidang pekerjaan dan peluang-peluang pengajian yang ditawarkan di universiti tempatan atau luar negara supaya negara kita mampu melahirkan bakal-bakal tenaga pekerja yang berkualiti dan bersahsiah tinggi demi masa depan negara.

0 comments: