CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, January 23, 2009

Menggapai Impian

Sapaan angin yang mengalun lembut menyapa tubuhku. Dingin sungguh aku rasakan pada malam ini sehingga mencengkam ke tulang hitamku. Jeritan cengkerik hutan seakan-akan berpesta menyambut keheningan malam yang kian berlabuh menuju ke dinihari. Namun, mataku ini masih sukar untuk dilelapkan dan di beranda banglo tiga tingkat inilah aku sering mencari ketenangan sambil melihat kerlipan bintang yang bertaburan di langit. Maha suci Allah yang Maha berkuasa menciptakan sesuatu. Indahnya langit dikala malam menjelma. Kerlipan bintang di bawah sinaran cahaya bulan menjadikan malam begitu indah untuk di hayati dan kerana itu banyak bait-bait puisi dan lirik-lirik yang mengisarkan keindahan malam di tulis si pujangga untuk di hadiahkan kepada si dara kekasih hatinya. Sewaktu insan lain lena diulit mimpi indah, malam sentiasa setia menjadi pengganti siang untuk memberikan manusia sedikit ruang dan masa untuk berehat bagi meneruskan perjuangan di muka bumi ini pada keesokkan hari. Kehidupan ini sentiasa berputar meninggalkan setiap detik, waktu dan masa. Kehidupan laksana roda kayu yang berpusing. Hari ini kita berada di bawah dan mungkin esok kita akan berada di atas dan bermula esok, semua yang berlaku semalam hanya tinggal sejarah dan kenangan untuk di lihat dan di renung kerana masa yang berlalu tidak mungkin akan berpatah kembali.

Keheningan pada malam ini, benar-benar meruntun hatiku dan tanpa aku sedari manik-manik jernih mengalir ke pipi. Wajah kedua orang tuaku silih berganti. Kini, sudah hampir tiga tahun pemergian mereka mengadap ilahi dan dikala itu aku merasakan diri ini sangat kesepian, keseorangan dan suatu kehilangan yang tiada pengganti. Terasa rindu ini semakin kuat mencengkam jiwa dan segala memori lama mula bermain di ruang kenanganku. Tanggal 17 Ogos 1986, aku mula dilahirkan ke dunia sebagai salah seorang penyambung warisan keturunanku dan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Kelahiranku ini tidak keseorangan berbanding adik beradikku yang lain kerana aku ditemani saudara kembarku untuk bersama-sama mengharungi pancaroba duniawi ini. Kelahiran kami ini disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan walaupun kami adalah kembar yang berbeza jantina. Aku dilahirkan di perkampungan Felda yang terletak di daerah Jengka salah satu daerah di negeri Pahang. Lambaian daun kelapa sawit dan getah yang menjadi pepohon peneduh itulah merupakan punca pendapatan utama kami warga Felda. Kenangan bersama kembarku sewaktu kami kecil masih segar diruang ingatanku. Sejak dari kecil, kami kurang dibenarkan bermain diluar rumah. Di teratak Felda itulah kami sering menghabiskan masa untuk bermain, bergaduh dan bergurau senda bersama. Ketika usia kami empat tahun, ibu sering membawa kami ke kebun untuk menanam sayur seperti sawi, kobis dan cili api. Sewaktu tiba musim mengutip cili yang sudah masak, ibu akan memberikan kami sebilah gunting kecil untuk memetik cili tersebut supaya pokoknya tidak mudah rosak. Hasil jualan sayur yang tidak seberapa ini dapatlah membantu sedikit perbelanjaan kami sekeluarga. Hal ini kerana, pada ketika itu harga buah kelapa sawit tidaklah terlalu mahal dan masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan persekolahan kesemua kakakku yang berada di sekolah rendah dan menengah dan apa yang pasti setiap kali ibu menjual hasil tanaman, aku dan saudara kembarku pasti akan mendapat upah dengan seorang sebatang ais-krim. Bagi kami, upah sebegini adalah cukup seronok dan lumayan. Aku masih teringat lagi bagaimana seronoknya kami berdua bermain tarik daun upih kelapa memusing keliling rumah dan lesung pelepah daun kelapa. Ketika itu ayah tidak mampu membelikan kami mainan yang mahal dan hanya permainan seperti itu ayah buatkan untuk kami. Walaupun hanya permainan kampung, tetapi aku berasa sangat seronok dan gembira. Masih segar di ruang fikiran melihat kembarku menarik upih tersebut dengan sekuat hati kerana berat badanku semasa kecil lebih berat daripadanya dan kini apabila aku mengimbau kenangan sewaktu kecil ini membuatkan aku kadangkala tersenyum sendirian.

Tahun 1991 merupakan tahun yang paling bermakna buat diriku apabila aku mula menjejakkan kaki ke sekolah. Sekolah Kebangsaan (LKTP) Jengka 15, itulah tulisan yang tertera di pintu pagar utama sekolah. Di situ tempat aku mula mengenali huruf, seterusnya membaca, menulis dan mengira. Prestasi akademik bersama kembarku tidaklah jauh berbeza, tetapi selalunya keputusan peperiksaanku pasti lebih baik daripada dirinya. Aku masih teringat lagi permainanku di waktu lapang bersama-sama anak jiranku semasa kecil. Selepas pulang daripada kelas fardhu Ain, kami suka bermain ‘cikgu-cikgu’. Kadangkala aku menjadi cikgu dan kadangkala aku menjadi pelajar sekolah dan apa yang pasti apabila menjadi ‘cikgu’ aku akan membawa rotan supaya ‘anak muridku’ takut kepadaku. Aku akan berlakon seolah-olah menjadi seperti cikgu yang sebenar dan merotan mereka yang tidak mendengar kataku. Cita-citaku untuk menjadi seorang cikgu memang wujud sejak kecil lagi dan aku sering menjadikan pengalaman aku di sekolah diaplikasikan semasa kami bermain seperti membawa rotan dan membawa buku yang banyak ke sekolah. Sikap dan minatku ini adalah seperti yang diutarakan oleh Teori Ginzberg, Ginsburg, Axelrad dan Herma (1951 ) menyatakan bahawa peringkat perkembangan kerjaya seseorang itu turut dipengaruhi oleh tiga jangka waktu iaitu fantasi, percubaan dan realistik. Pada peringkat fantasi iaitu antara lingkungan umur enam hingga sebelas tahun, kanak-kanak lebih berorientasikan permainan dan dipengaruhi oleh orang dewasa. Aku menjadikan permainan ini sebagai salah satu cara untuk menggambarkan minatku yang begitu mendalam dalam bidang pendidikan dan aku juga sangat berharap supaya suatu hari nanti impianku untuk menjadi cikgu akan tercapai.

Aku masih teringat lagi ketika aku dalam darjah dua, sekolahku telah mengadakan pertandingan bercerita kanak-kanak dan ketika itu aku berasa teringin sangat untuk mencuba nasib. Walaupun ketika itu aku agak pendiam di sekolah tetap bagiku apa salahnya jika aku mencuba, manalah tau kalau nasib menyebelahi diriku dan mungkin aku mempunyai bakat yang terpendam selama ini dan bakat ini mungkin boleh membezakan aku dengan yang lain. Hal ini kerana, menurut Henson dan Eller (1999), dalam bukunya Educational Psychology for Effective Teaching menyatakan bahawa kepelbagaian individu itu merujuk kepada ciri-ciri atau sifat-sifat manusia yang mempunyai potensi samada memajukan keupayaan seseorang ( contohnya seperti optimistik dan sentiasa berani mencuba ) atau membataskan keupayaan seseorang untuk belajar dalam persekitaran sekolah contohnya seperti takut melakukan kesilapan dan takut bertanya. Oleh itu, untuk memastikan diri kita berbeza dengan individu yang lain kita seharusnya mempunyai sikap berani mencuba dan jangan cepat berputus asa di dalam diri dan perkara utama yang harus ada dalam kendiri manusia ialah sikap yakin kepada kebolehan diri sendiri.

Apakah yang berlaku kepada saya ketika itu???tungggu sambungan kisah ini ye...


0 comments: